Kamis, 12 Agustus 2010

Taubat Nabi Yunus a.s

Posted by Unknown on 08.09 0 komentar


Rujukan: Dipetik dari buku Taubat kepada Allah,ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dan diterjemah oleh Ustaz Mohammad Zaini b Yahya.

Al-Quran ada memaparkan kepada kita kisah taubat Nabi Yunus a.s ketika beliau menyeru kaumnya supaya menyembah Allah. Mereka tidak menerima seruannya. Lantas Nabi Yunus tidak bersabar melihat penolakan mereka sehingga beliau memarahi mereka. Beliau kemudian menjauhkan diri dari mereka. Lalu Allah menguji beliau dengan satu cubaan yang bertujuan untuk membersihkannya, menampakkan kekuatan jiwanya, keyakinannya kepadaNya dan kebenarannya bersama Allah.

Pada suatu hari beliau menaiki sebuah bahtera. Apabila bahtera tersebut berada ditengah lautan, tiba-tiba ia ditiup angin yang kencang. Ombak yang kuat pun memukul-mukul bahtera tersebut. Semua yang berada di dalamnya mula bimbang mereka akan karam. Mereka berkata,"Kita mestilah mengurangkan beban bahtera ini agar kita semua tidak karam." Mereka tidak mempunyai pilihan yang lain selain dari membuang sebahagian penumpang ke dalam lautan untuk menyelamatkan sebahagian penumpang yang lain.

Mereka pun membuat pilihan melalui undian. Undian tersebut terkena pada Nabi Yunus a.s. Tiada pilihan yang lain bagi Nabi Yunus melainkan akur kepada persepakatan tersebut. Maka beliau pun dibuangkan ke dalam lautan. Beliau ditelan ikan paus atau "An-Nun" sebagai celaan kerana memarahi kaumnya dan berputus asa dengan meninggalkan mereka tanpa terus berusaha menyeru mereka lagi. Di sini jelas kelihatan keyakinan nabi Yunus,Zun Nun. Di dalam kegelapan laut, malam dan perut paus yang menyelubunginya itu, Nabi Yunus pun menyeru dengan kalimah-kalimah yang telah dirakamkan dan diabadikan oleh al-Quran melalui perkisahannya;"Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap,

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang yang zalim." Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan, demikianlah kami menyelamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al-Anbiya' ayat 87-88)

Tiga kalimah ringkas yang diserukan oleh Nabi Allah Yunus tersebut mempunyai pengertian yang agung. Kalimah-kalimah tersebut ialah.

Pertama: Kalimah yang menunjukkan tentang ketauhidan (tauhid Uluhiyyah) yang menjadi sebab kenapa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitab-kitab serta sebab kepada pembinaan syurga dan neraka.Kalimah tersebut ialah;
La ilaha illa anta.

Kedua: Kalimah yang membersihkan Allah dari segala sifat kekurangan. Ia adalah makna tasbih yang menjadi sebab kepada penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk. Setiap sesuatu pasti bertasbih kepadaNya. Kalimah itu ialah; Subhanaka.

Ketiga: Kalimah yang membuktikan pengiktirafan terhadap dosa dan kelalaian dalam menunaikan hak Tuhan serta menzalimi diri sendiri lantaran kelalaian.
Kalimah tersebut ialah; Inni kuntu minazzholimiin.
Inilah slogan atau tema kepada taubat.

Tidak hairanlah jika kalimah-kalimah yang benar lagi ikhlas ini mempunyai kesan yang segera terlaksana di dunia sebelum Akhirat. Seterusnya Allah berfirman

"Maksudnya: "Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman".
(Surah al-Anbiya' ayat 88)

Kalimah-kalimah ini berserta tiga pengertiannya iaitu tauhid, pembersihan dan pengiktirafan telah menjadi teladan di dalam permunajatan dan di dalam menghadapi kesulitan, sehingga terdapat dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan hukumnya sebagai sahih;

"Doa saudaraku Zun Nun, yang jika dibaca oleh orang-orang yang mendapat kesulitan, nescaya Allah akan membebaskannya dari kesulitan itu, iaitu: "Tiada Allah selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku temasuk dikalangan orang-orang yang zalim."

Wallahu'alam

Personal Remark:
-Saya rasa ada banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini. Antaranya ialah:

1.Agar kita segera bertaubat apabila menyedari akan kesilapan yang telah kita lakukan. Ucaplah kalimah taubat seperti yang diucapkan oleh Nabi Yunus dan yakinlah akan bantuan serta haraplah keampunan dari Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun.
2.Supaya kita selalu beringat bahawa Allah lebih berhak ke atas kita dan Dia berhak menghukum kita atas kesalahan yang kita lakukan. Mohonlah keampunan daripadaNya dengan harapan hukuman ke atas kita akan diringankan dan dipermudahkan serta dosa kita di ampunkan.
3.Hukuman serta dugaan dari Allah adalah salah satu cara tarbiah Allah kepada hambaNya agar kita sedar akan kelemahan serta kelalaian diri dalam melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan laranganNya. Hukuman dan dugaan juga adalah cara penghapusan dosa, pembersihan diri dan pengukuhan pada tahap keyakinan, ketaqwaan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah agar kita tidak mudah putus asa dan yakin akan pembelaanNya kepada orang-orang yang beriman.
4.Supaya kita yakin, bahawa pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka, selagi belum tibanya hari Akhirat atau selagi ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum). (Perihal "ajal sampai ke tenggorok" ada diriwayatkan oleh Ibn Majah dan At-Tirmizi di dalam satu hadith hasan yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selagi mana ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum)."
5.Peringatan supaya jangan mudah putus asa dalam usaha menyeru umat manusia ke jalan Allah dan dalam berdakwah. Sentiasa yakin akan pertolongan dan bantuan Allah dan yakinlah bahawa jalan Allah adalah jalan yang jelas kebenarannya.

Wallahu'alam. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu adalah dengan keizinanNya tetapi di atas kelemahan dan kecuaian diri saya sendiri. Jazakallahu khair.


0 Responses so far:

Leave a Reply